KEBANYAKAN kita apabila mendengar tentang harta karun akan berpandangan harta yang dikumpul sekumpulan lanun dan disorokkan ditempat tertentu. Sememangnya harta karun dan lanun sudah agak sinonim memandangkan kebanyakan filem-filem Hollywood begitu mengaitkan dua perkara ini.
Namun hakikatnya kebanyakan penemuan harta karun ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan kisah lanun malah ia boleh dikatakan tersembunyi melata di merata tempat tanpa sebarang petunjuk yang jelas.
Ada yang digambarkan seperti terlalu rumit dan sulit untuk ditemui seperti filem National Treasure yang penuh dengan petunjuk yang terpaksa dikaji begitu mendalam. Walau apa pun kisah mengenai harta karun, ia memang senantiasa menarik perhatian ramai apatah lagi bagi mereka yang bergelar pencari harta karun dan mahu menjadi kaya dalam sekelip mata.
Malah Malaysia juga tidak terkecuali menjadi antara tumpuan para pencari harta karun. Di dasar Laut China Selatan dan Selat Melaka umpamanya, tersimpan banyak warisan kapal karam purba yang turut menenggelamkan bersamanya khazanah yang tidak ternilai harganya.
Kapal karam
Ini berikutan suatu ketika dulu negara ini terletak di lokasi strategik di tengah jalan laut yang menghubungkan dunia Timur dan Barat sekaligus menyebabkan ia menjadi lokasi persinggahan pedagang.
Terdapat kapal-kapal ini membawa barang dagangan berharga yang karam di perairan negara atas pelbagai faktor seperti terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.
Antara kapal dagang yang karam di perairan Malaysia dan berjaya ditemui adalah;
1.Kapal Nanyang yang ditemui pada 1995 di kedalaman 54 meter dari paras laut, berhampiran perairan Johor. Kapal ini dipercayai tenggelam pada 1380.
2.Kapal Xuande yang dipercayai karam pada tahun 1540 di sekitar perairan Pahang. Kapal ini ditemui pada tahun 1996 dan sejumlah harta karun berupa seramik dari China dan Thailand ditemui.
3. Kapal Singtai yang dipercayai karam pada tahun 1550 dan ditemui pada tahun 2001 di sekitar perairan Kelantan.
Kuil
Banyak harta karun berjaya ditemui sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Malah baru-baru ini sekitar awal bulan Julai lepas, dunia dikejutkan dengan penemuan harta bernilai AS$22 bilion (RM66 bilion) di Kuil Sree Padmanabhaswamy, yang terletak di ibu negeri Kerala, India.
Akibatnya pihak tentera India terpaksa mengepung kuil Hindu yang dibina pada zaman pertengahan untuk mengawal keselamatan kuil tersebut. Sejumlah besar barang kemas dan duit syiling daripada emas dan perak serta batu permata ditemui di dalam tujuh bilik kebal yang dibuka setelah disembunyikan sejak sekian lama.
Kuil itu dipercayai dibina ratusan tahun silam oleh Raja Travancore dan harta tersebut dipercayai miliknya selain hasil sumbangan para penganut Hindu.
Tak sengaja
Selain itu kisah seorang lelaki bertuah yang menemui harta karun tersimpan di bawah tanah dipercayai berusia hampir 1,000 tahun dengan hanya menggunakan alat pengesan logam (metal detector) agak mengagumkan.
Lelaki berkenaan Terry Herbert, 57, menemui harta tersebut yang bernilai jutaan ringgit ketika berjalan bersama alat pengesan logam hanya untuk suka-suka di ladang milik rakannya.
Harta karun tersebut dipercayai harta terbesar zaman Anglo Saxon yang antaranya sejumlah besar emas dan gangsa, barang kemas dan perhiasan serta pedang-pedang lama membabitkan jumlah 1,345 artifak.
Harta karun tersebut yang ditemui pada Julai 2009 telah diisytiharkan sebagai antara harta karun paling bersejarah di England dan ia akan dijual kepada umum setelah semua penilaian mengenainya selesai.
Lebih menarik lagi jumlah penjualan itu nanti akan dikongsi sama rata antara Herbert dan rakan pemilik tanah tersebut yang nama dan lokasinya dirahsiakan daripada umum.
Tutankhamun
Pada 16 Februari 1923, seorang pengkaji Inggeris, Howard Carter berjaya memasuki kubur Firaun agung, Tutankhamun. Beliau mendapati makam itu dipenuhi pelbagai artifak dan harta yang mengkagumkan. Harta itu terlalu banyak sehingga dia memerlukan 10 tahun untuk mengkatalogkan kesemua artifak tersebut.
Sebelum itu penduduk Mesir Kuno beranggapan firaun mereka sebagai dewa. Atas sebab itu mereka mengawetkan mayat firaun dan kemudian memakamkan mereka di dalam kubur yang turut dilengkapi pelbagai bentuk harta karun dengan tujuan menemani perjalanan firaun yang meninggal dalam menuju kehidupan selepas mati.
Namun penggalian seterusnya yang dilakukan pada akhir abad ke 19 terhadap dua makam lain hanya menemukan makam-makam yang telah kosong. Makam itu disyaki dirompak oleh pencuri makam. Namun ada teori yang menyatakan harta itu sebenarnya dicuri oleh para pendeta di zaman firaun sendiri.
Montezuma
Berikutan peristiwa penghapusan suku kaum Aztec yang dilakukan tentera Sepanyol pada 1520, ia telah menarik perhatian para pencari harta karun. Berikutan kejayaan jeneral Hernando Cort membunuh maharaja Montezuma, Cort dan pasukannya telah dikepung oleh pahlawan Aztec yang sedang marah di kota Tenochtiti.
Maka berlakulah pertempuran selama beberapa hari sehingga Cort mengarahkan pasukannya mengumpulkan harta Montezuma yang bernilai untuk dibawa lari. Namun malangnya, tentera Sepanyol tidak mampu untuk berlari jauh apabila pahlawan Aztec berjaya mengejar mereka sehingga ke Danau Tezcuco.
Pertempuran tersebut telah menyaksikan ramai tentera Sepanyol terbunuh. Cort dan anggota tenteranya yang masih hidup terpaksa membuang segala harta ke dalam Danau Tezcuco dan kemudian melarikan diri.
Setelah sekian lama, tentera Sepanyol datang kembali untuk mengambil harta tersebut tetapi harta tersebut didapati telah tiada. Sehingga sekarang, banyak ekspedisi untuk mengesan harta-harta tersebut di Danau Tezcuco tetapi usaha mereka ternyata sia-sia.
Bilik Amber
Bilik ini merupakan sebuah ruangan berukuran 11 kaki persegi, terdiri dari panel-panel dinding berukuran besar yang bertatahkan batu Amber yang luar biasa. Selain itu terdapat cermin-cermin besar di sisinya selain pelbagai ukiran yang dibuat daripada emas, serta empat buah mosaic Florentine yang tersergam indah. Kesemuanya bertatahkan permata-permata yang tak ternilai harganya. Di dalamnya tersimpan berbagai koleksi seni buatan Prusia dan Rusia yang paling berharga.
Bilik ini dibina oleh Raja Friedrich I dari Prusia untuk dihadiahkan kepada Czar Rusia, Peter The Great pada tahun 1716. Bilik Amber terletak di Istana Katherine, St. Petersburg ini dikatakan bernilai lebih dari US$142 juta. Bagaimanapun bilik ini hilang secara tiba-tiba ketika pihak Nazi Jerman datang menyerang negara itu dan dipercayai disembunyikan pihak-pihak tertentu.
Dikatakan terdapat usaha untuk cuba memindahkannya ke Istana Konigsberg ketika peperangan berlangsung. Bagaimanapun setelah perang tamat bilik Amber hilang dan gagal ditemui sehingga kini. Pelbagai persoalan dan teori dibuat mengenai kehilangan ruangan ini. Namun pihak Russia kini telah mereka bentuk semula Bilik Amber melalui sumbangan kerajaan Jerman dan dilakukan dengan begitu teliti oleh pengukir Rusia. Bilik tersebut kini ditempatkan di Istana Catherine walaupun tidak mencapai tahap seperti yang digambarkan sebelumnya iaitu antara salah satu keajaiban dunia oleh mereka yang pernah melihatnya.
Yamashita
Harta karun Jeneral Yamashita, adalah harta yang dirampas oleh tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua. Harta ini dikumpul oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita yang menguasai Indonesia, Malaysia, Singapura, Vietnam, Filipina, dan Thailand. Dikatakan lokasi harta karun ini terletak di sebuah pulau di dalam wilayah Mindanao di Filipina. Ketika Yamashita berkuasa, Jepun telah melakukan sebuah operasi yang dikenali sebagai operasi Golden Lily.
Operasi ini bertujuan menyediakan dana perang bagi Jepun, dan mereka mula mengumpulkan emas dan pelbagai barangan bernilai lain dari setiap daerah jajahan. Bagaimanapun setelah Jepun kalah, dikatakan harta- harta tersebut masih terkubur rapi di bawah tanah, walaupun dikatakan sebahagiannya sudah ditemui.
Emas yang terkumpul dalam operasi Golden Lily dikatakan mencecah 6,000 tan dan bersamaan berbilion ringgit.
NOTA : Di Malaysia banyak kapal karam sudah di kenal pasti dan ada beberapa tempat bekas lombong emas zaman jepun di jumpai. Persoalan ; apakah jaminan kerajaan pada perseorangan yang telah menemui.
No comments:
Post a Comment